PT3 2014


Penilaian Berasaskan Sekolah

Modul Perekodan




Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)

1. Apakah PT3?
PT3 adalah pentaksiran sumatif untuk menilai pencapaian akademik murid di peringkat menengah rendah.
2. Apakah mata pelajaran yang ditaksir dalam PT3?
Mata pelajaran yang ditaksir dalam PT3 adalah seperti berikut:
  • Bahasa Melayu
  • Bahasa Inggeris
  • Sejarah
  • Geografi
  • Mathematics
  • Science
  • Pendidikan Islam
  • 4 pilihan Kemahiran Hidup Bersepadu:
    • KHB Kemahiran Teknikal
    • KHB Ekonomi Rumah Tangga
    • KHB Pertanian
    • KHB Perdagangan dan Keusahawanan
  • 5 pilihan bahasa tambahan:
    • Bahasa Arab
    • Bahasa Cina
    • Bahasa Tamil
    • Bahasa Iban
    • Bahasa Kadazandusun
3. Apakah skop sukatan pelajaran yang ditaksir dalam PT3?
PT3 mentaksir skop sukatan pelajaran Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 berdasarkan matlamat, objektif dan kandungan mata pelajaran berkenaan.
4. Apakah tanggungjawab Lembaga Peperiksaan dalam pelaksanaan PT3?
Lembaga Peperiksaan bertanggungjawab menyediakan soalan (item), panduan penskoran dan garis panduan pelaksanaan dan panduan penjaminan kualiti PT3 serta melaksanakan penjaminan kualiti PT3.
5. Apakah peranan sekolah dalam pelaksanaan PT3?
Sekolah adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyediaan kertas soalan, pentadbiran, pemeriksaan skrip jawapan, penggredan dan pelaporan PT3 berdasarkan soalan, panduan penskoran dan garis panduan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Di samping itu, sekolah perlu melaksanakan penjaminan kualiti PT3.
6. Apakah jenis instrumen pentaksiran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris?
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ditaksir menggunakan instrumen pentaksiran Ujian Bertulis dan Ujian Lisan. Ujian Lisan terdiri daripada Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar.
7. Apakah jenis instrumen pentaksiran bagi mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup Bersepadu, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun?
Mata pelajaran tersebut akan menggunakan instrumen pentaksiran Ujian Bertulis sahaja.
8. Apakah jenis instrumen pentaksiran bagi mata pelajaran Sejarah dan Geografi?
Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan Pelbagai Instrumen seperti Tugasan Bertulis (assignment), Projek, Kajian Lapangan (field study) atau Kajian Kes (case study). Bagi tahun 2014, Lembaga Peperiksaan telah menetapkan Kajian Kes sebagai instrumen pentaksiran bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan.
9. Bagaimanakah pencapaian murid bagi PT3 ini dilaporkan?
Pelaporan Pencapaian Murid bagi PT3 adalah dalam bentuk Gred A, B, C, D, E dan F dengan tafsiran seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
Jadual 1: Gred dan tafsiran gred bagi PT3
GredTafsiran Gred
ACemerlang
BKepujian
CBaik
DMemuaskan
EMencapai tahap minimum
FBelum mencapai tahap minimum
10. Bilakah pelaksanaan PT3 ini bermula?
Pelaksanaan PT3 dijalankan secara berperingkat seperti Jadual 2 berikut:
TarikhJenis InstrumenMata Pelajaran
1 – 18 Julai 2014Kajian KesSejarah
Geografi
6 – 29 Ogos 2014Ujian Lisan BertuturBahasa Melayu
Bahasa Inggeris
12 Ogos 2014Ujian MendengarBahasa Melayu
13 Ogos 2014Ujian MendengarBahasa Inggeris
12 – 17 Oktober 2014Ujian BertulisBahasa Melayu
Bahasa Inggeris
Mathematics
Science
Pendidikan Islam
Kemahiran Hidup Bersepadu
Bahasa Cina
Bahasa Tamil
Bahasa Arab
Bahasa Iban
Bahasa Kadazandusun
11. Bagaimanakah penjaminan kualiti PT3 ini dilaksanakan?
Penjaminan kualiti dilaksanakan melalui proses moderasi dan verifikasi. Moderasi ialah proses menyelaras markah berdasarkan peraturan penskoran yang disediakan oleh LP. Proses ini dilaksanakan bagi memastikan ketekalan (konsistensi) dalam pemberian markah antara guru-guru yang memeriksa.
Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima.
12. Adakah guru, murid dan ibu bapa bersedia untuk menghadapi pelaksanaan PT3?
Program penataran dan taklimat telah dan sedang dijalankan oleh LP dengan bantuan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Bahagian KPM, Pengetua, Guru Besar, School Improvement Partner Plus (SIP+), School Improvement Specialist Coach Plus (SISC+), guru sekolah rendah dan sekolah menengah serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru di seluruh negara.

sumber : http://didikmalaysia.com.my/