Kesihatan dan Anda

1. SENARIO PENYAKIT JANTUNG DI MALAYSIA

PENYAKIT koronari jantung (CHD) atau penyakit jantung kronik antara punca kematian terbesar di kalangan penduduk di negara ini. Ia turut menjadi ancaman maut di negara-negara besar lain seperti Rusia, Amerika Selatan dan Utara, Australia, New Zealand dan Eropah.

Bahkan diramalkan ia bakal menjadi 'pembunuh dalam senyap' utama seluruh benua di dunia menjelang tahun 2020.

Mengikut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, satu pertiga daripada kematian manusia di seluruh dunia adalah disebabkan oleh serangan jantung.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 40 hingga 75 peratus pesakit yang terkena serangan jantung meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital.

Persoalannya berapa ramaikah rakyat di negara ini mengetahui dengan jelas mengenai CHD) dan siapakah golongan berisiko menghidapi penyakit berbahaya ini?

"Jawapannya mudah sesiapa pun berisiko untuk diserang CHD kerana penyakit ini banyak berkait rapat dengan gaya hidup seseorang," kata Perunding Kardiologi dari Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara, Selangor, Dr. Haizal Haron Kamar.

Beliau berkata demikian pada satu ceramah sempena majlis memeteri perjanjian pengedaran V-Patch, sistem penganalisis degupan jantung terbaru, antara V-Patch Medical Systems Pty. Ltd. dengan OGAWA World Berhad, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai CHD, Dr. Haizal berkata, secara mudah ia dirujuk sebagai serangan jantung berpunca daripada penyumbatan pada pembuluh darah yang sepatutnya berfungsi membawa bekalan darah dan oksigen ke jantung.

Menurutnya, senario penyakit jantung di Malaysia cenderung menunjukkan dua jenis faktor penyebab iaitu faktor boleh diubah dan tidak boleh diubah.

Faktor tidak boleh diubah berkaitan dengan aspek umur, sejarah keluarga, jantina dan etnik pesakit, manakala boleh diubah adalah serangan jantung yang berpunca daripada penyakit-penyakit lain sedia dihidapi pesakit seperti diabetis, darah tinggi, kandungan kolesterol tinggi, obesiti dan amalan gaya hidup tidak sihat.

"Secara umum penyakit diabetis memang boleh menjadi punca penyakit-penyakit lain seperti kegagalan buah pinggang, neuropati strok, masalah penglihatan dan seterusnya serangan jantung atau CHD.

"Senario di Malaysia ketika ini menunjukkan sebanyak 14.9 peratus orang dewasa berusia 30 tahun ke atas menghidap diabetis.

"Dari situ kita sudah boleh meramal potensi serangan CHD di kalangan rakyat negara ini. Itu belum lagi melihat golongan yang menghidap penyakit darah tinggi dan yang turut berisiko diserang sakit jantung," ujarnya.

Menurut Dr. Haizal, mengikut perangkaan sebanyak 4.8 juta rakyat Malaysia menghidapi penyakit darah tinggi dan 64 peratus daripada jumlah tersebut tidak sedar bahawa mereka menghidap penyakit tersebut.

Kandungan kolesterol yang tinggi juga boleh menjadi punca kepada serangan jantung. Keadaan ini berlaku apabila kolesterol yang terkumpul menyumbat pembuluh darah yang membekalkan darah dan oksigen ke jantung.

"Kandungan kolesterol berkait rapat dengan makanan yang kita ambil. Sebab itu pada awal tadi saya sudah nyatakan bahawa serangan jantung sedikit sebanyak ada kena mengena dengan gaya hidup seseorang.

"Begitu juga dengan faktor obesiti yang menjadi salah satu punca utama serangan jantung di negara ini.

"Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Malaysian Noncommunicable Disease Surveillance 2005/2006, sebanyak 48.6 peratus orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes kerana tidak bersenam.

"Lebih membimbangkan apabila jumlah rakyat negara ini yang mengalami obesiti meningkat lima kali ganda melibatkan golongan yang berusia 40 hingga 49 tahun," katanya.

Dr. Haizal berkata, obesiti sangat berkait rapat dengan penyakit jantung kerana lemak badan yang berlebihan akan terkumpul di sekeliling jantung dan mengganggu salur darah.

Satu lagi faktor punca serangan jantung yang tidak boleh dipandang ringan ialah tabiat merokok.

"Sebanyak 25.5 peratus rakyat Malaysia merokok dan ini meningkatkan lagi risiko serangan jantung di kalangan mereka," jelasnya

Menjelaskan mengenai simptom serangan jantung, menurut Dr. Haizal, ia boleh dikenal pasti melalui beberapa simptom yang jelas namun ada kalanya juga serangan berlaku tanpa sebarang simptom.

Antara simptom yang biasa berlaku ialah rasa sakit atau tidak selesa terutama dari bahagian tengah dada hingga ke leher dan lengan tangan kiri. Rasa sakit turut disertai dengan berpeluh yang banyak serta rasa terumbang ambing.

Kesakitan itu berlaku disebabkan ketika itu jantung tidak mendapat bekalan darah atau oksigen yang mencukupi.

Pesakit mungkin berasa seperti dada mereka ditekan atau jantung seperti diramas orang.

"Bagaimanapun perlu diingatkan tidak semua serangan jantung datang dengan cara begini. Jadi cara yang terbaik untuk mendiagnosis CHD ialah seperti melalui ujian Elektro Cardio Gram (ECG), ujian tekanan senaman, echo kardiogram, koronari angiogram dan imbasan MRI.

Rawatan CHD

Dr. Haizal berkata, setakat ini salah satu rawatan terhadap pesakit CHD ialah dengan pengambilan ubat-ubatan berdasarkan kepada arahan doktor.

"Kaedah kedua ialah dengan pembedahan pintasan (bypass) iaitu urat di bahagian kaki akan dipotong dan disambung pada arteri di bahagian jantung yang tersumbat.

"Satu lagi teknik ialah dinamakan angioplasty, iaitu teknik teknik di mana ruang dalam arteri yang sempit dibuka dengan menggunakan sejenis tiub khas yang boleh meregang bagi pengaliran darah dan oksigen yang lebih baik," katanya.

Beliau juga menyarankan pesakit yang telah disahkan menghidap penyakit jantung agar mengubah gaya hidup kepada yang lebih sihat.

Pertamanya, boleh dimulakan dengan bersenam setiap hari, makan secara sihat dan seimbang.

"Bagi yang merokok sebaiknya hentikan tabiat itu serta merta dan kurangkan tekanan dalam kehidupan harian.

"Jika mereka masih tidak mempunyai insurans kesihatan, saya sarankan cepat dapatkan insurans yang baik dan akhir sekali mestilah berjumpa dengan doktor," katanya.

Dalam pada itu pengesanan awal terhadap degupan jantung tidak normal boleh mengurangkan implikasi lebih tragik terhadap pesakit jantung.

Justeru pengenalan V-Patch Medical Systems (V-Patch) sebagai penganalisis degupan jantung dianggap lembaran baru bagi membantu pesakit jantung.

Pengasasnya, Peter Taylor berkata, penciptaan V-Patch membolehkan pakar perubatan membuat pengesanan awal dan diagnosis yang lebih baik untuk pesakit mereka.

"Sistem ini telah dibangunkan dan diuji di beberapa buah negara di dunia. Bukan itu sahaja, rangkaian telefon selular yang digunakan dalam sistem pengesanan V-Patch ini juga telah diuji di sembilan buah negara di seluruh dunia," jelasnya yang bertanggung jawab menzahirkan idea penghasilan V-Patch tersebut.

Menurut Taylor V-Patch ini amat peka dan dapat mengesan serta mengenalpasti rentak degupan jantung si pemakai.

"Apa sebenarnya yang dilakukan oleh V-Patch ialah merekod masa sebenar rentak degup jantung sekali gus menentukan sama ada pemeriksaan lanjut diperlukan.

"Jadi, mereka yang memakai V-Patch ini mempunyai pilihan untuk mendapatkan rawatan yang terbaik untuk diri mereka," jelasnya pada majlis yang sama.

Sementara itu pengarah eksekutif V-Patch Medical System Pty. Ltd., Luke Whelan menerangkan bahawa alat tersebut merangkumi tiga peralatan iaitu pelekat yang dilekatkan di bahagian dada (V-Patch), sejenis alat pengesan yang juga dilekat ke dada (V-Pod), alat transmisi bersaiz umpama telefon bimbit (V-Cell) dan maklumat disalurkan ke internet menerusi V-Central.

"Doktor akan mendapat pesanan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel dari sistem V-Sentral dia boleh melihat graf yang menunjukkan degupan jantung pesakit mereka.

"Alat ini berguna untuk sesiapa sahaja yang pernah pengsan, rasa tidak stabil, terhuyung hayang, sesak nafas, degupan jantung amat kuat, degupan jantung tidak sekata, degupan jantung laju atau perlahan," katanya.

Dengan adanya alat tersebut beliau percaya pesakit akan lebih proaktif dengan doktor mereka kerana ternyata mencegah lebih baik daripada merawat.

Sumber : Utusan.com

2. KENCING MANIS

DIABETES merupakan antara perkataan yang semakin kerap dipaparkan di dada akhbar, majalah mahupun media elektronik lain. Mengapa? Memandangkan bilangan penghidap diabetes dunia, dan juga Malaysia, telah meningkat dengan mendadak sejak dekad terdahulu, jawapannya tentu amat jelas.

Kebanyakan daripada kita juga telah atau semakin memahami apa itu diabetes, cara kawalan, pilihan rawatan dan juga komplikasi diabetes terhadap kesihatan dan kehidupan seharian. Menjadi negara yang dikenali sebagai syurga makanan, kesan diabetes pasti amat terasa di kalangan pesakit tempatan yang sekadar 'mengambil bau' sahaja.

Namun, selepas bertahun-tahun kajian, masih banyak yang kurang jelas mengenai asal usul penyakit ini, terutamanya punca ia berlaku. Mungkin sudah tiba masanya tumpuan terhadap rawatan dan penawar diabetes dikongsi bersama usaha memahami bagaimana ia bermula.

Sejarah

Sejarah sering kali dijadikan petunjuk untuk kita merancang masa hadapan supaya kesilapan sama tidak diulang dan kejayaan silam dikembangkan. Sejarah diabetes menunjukkan ia telah lama wujud, mungkin seawal bermulanya tamadun-tamadun besar manusia.

Walaupun kaedah rawatan agak terhad ketika itu, diabetes jelas dicatatkan terutamanya cara untuk mengesan pesakit melalui air kencing yang penuh dengan gula. Ibnu Sina sendiri mencatat dan berjaya membezakan ciri antara diabetes Jenis 1 dan Jenis 2 dengan jelas.

Penyakit ini juga sering dikaitkan dengan golongan yang hidup mewah, terutamanya yang obes dan tidak banyak bergerak, sejak beribu-ribu tahun lamanya. Namun, seperti juga penyakit-penyakit lain, penemuan dan perkembangan terbesar mengenai diabetes ditemui sepanjang abad ke-20. Namun, abad ke-20 juga dikatakan abad kemuncak diabetes dengan catatan pesakit baru tertinggi, walaupun di kalangan penduduk kelas pertengahan mahupun penduduk miskin.

Di sini, persoalan baru yang timbul!

Adakah penyakit yang disangka berpunca daripada genetik, gaya hidup dan pemakanan semata-mata ini mempunyai faktor risiko atau punca lain?

Mungkin dengan memahami dan merungkai punca diabetes berlaku bukan sahaja dapat mencegahnya daripada berlaku, malahan memulihkan kembali mereka yang menjadi statistik terbaru.

Teori

Sekitar pertengahan 1990-an, muncul satu teori dan penemuan baru mengenai punca penyakit kronik, tetapi ditolak kebanyakan saintis. Dengan ilmu semasa ketika itu, sesuatu yang menunjuk ke arah penjelasan terlalu mudah pastinya amat tidak logik dan 'tidak saintifik'.

Mungkinkah diabetes berpunca daripada sesuatu yang remeh, berpunca daripada masalah inflimasi (bengkak) berpanjangan?

Lebih menarik lagi, inflimasi berpanjangan mungkin menjadi punca dasar untuk banyak penyakit kronik lain selain diabetes, termasuk penyakit jantung, kanser, artritis, Parkinson, Multiple Sklerosis (MS), Alzheimer, alahan (alergi) dan juga asma (lelah).

Membezakan antara sejarah kesihatan di Timur dan Barat, jelas dilihat penyakit kardiovaskular dan juga kanser menjadi punca kematian utama di Amerika Syarikat (AS) dan juga Jepun sepanjang abad ke-20. Walaupun pengindustrian dunia menyebabkan kes penyakit berjangkit seperti tuberkulosis (tibi) dan pneumonia jatuh mendadak, bilangan kes penyakit kronik pula meningkat dengan mendadak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan - "Lima penyakit (atau pembunuh) utama di Malaysia adalah penyakit jantung, masalah mental, strok, kemalangan jalan raya dan kanser. Penyakit kronik seperti jantung, diabetes dan kanser pula menjadi punca utama kemasukan dan kematian di hospital kerajaan... Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) turut menunjukkan peningkatan kes diabetes dan tekanan darah tinggi." (www.wpro.who.int/countries/2007/maa/health_situation.htm)

Dalam dunia serba moden, dengan tahap pengindustrian global untuk aspek kesihatan sejagat, mengapa penyakit kronik semakin banyak berlaku, termasuklah di kalangan individu yang tidak mempunyai risiko tinggi?

"Ubat untuk penyakit seperti asma semakin bagus tetapi bilangan kes dan kematian akibat asma terus meningkat. Mengapa?

"Puncanya, rangsangan berlebihan ke atas sistem imuniti badan - menyebabkan inflamasi berterusan (berpanjangan), seterusnya meningkatkan bilangan penghidap penyakit kronik," dakwa Dr. Duke Johnson, Pakar Pencegahan Penyakit dan Pengarah Perubatan, Pusat Kesihatan Optimum Institut Kesihatan Nutrilite.

Menurut beliau, pengindustrian global, terutamanya industri pemakanan, dikaitkan dengan peningkatan penyakit kronik di seluruh dunia.

"Pendedahan terhadap bermacam toksin dan bahan kimia (terutamanya dalam makanan) telah menjejaskan keseimbangan dalam badan.

"Ini jelas berlaku terhadap sistem imuniti yang sentiasa 'aktif' mencari musuh tetapi tidak pasti siapakah musuh itu (bahan kimia)!"

Inflamasi

Menurut Dr. Johnson, inflamasi paling mudah difahami sebagai situasi bengkak, seperti luka yang dijangkiti kuman, dengan gejala merah, panas, sakit dan membengkak. Tindak balas inflimasi secara semula jadi berlaku untuk melindungi badan daripada rangsangan berbahaya seperti jangkitan kuman, kecederaan dan juga keradangan tisu, di samping memulakan proses pemulihan.

Tanpa proses inflimasi, kecederaan dan jangkitan tidak akan pulih dan akan menjadi semakin teruk. Bagaimanapun, inflimasi berpanjangan (kronik) juga boleh membawa kepada bermacam jenis penyakit kronik. Inflimasi berpanjangan akan menyebabkan kemusnahan tisu berlaku serentak dengan proses pemulihan.

Selain kuman dan kecederaan, inflimasi juga boleh berlaku akibat rangsangan lain seperti pendedahan bahan kimia, cuaca ekstrem, radiasi berion dan toksin. Jika gagal dikawal atau menerima rangsangan berterusan, proses inflimasi berpanjangan akan menyebabkan kerosakan dan kemusnahan tisu persekitaran.

Selain konsep inflimasi berpanjangan, proses inflimasi sistemik yang melibatkan sebahagian besar tisu dan organ badan akan memberi kesan buruk ke atas badan.

"Inflimasi seluruh badan (sistemik), secara berpanjangan menjadi asas punca penyakit kronik, termasuklah diabetes.

"Inflimasi berpanjangan juga meningkatkan pengeluaran C-reactive protein (CRP) - protein yang dikeluarkan selepas inflimasi berlaku untuk memulakan proses memusnahkan tisu yang rosak," jelas Dr. Johnson.

CRP dihasilkan oleh hati apabila berlakunya inflimasi yang juga menandakan kecederaan, jangkitan ataupun penyakit. Oleh itu, CRP juga menjadi penanda aras terhadap proses inflimasi dalam badan, perkembangan penyakit dan juga keberkesanan rawatan.

Kajian terkini menunjukkan terdapat kaitan bacaan CRP yang tinggi dengan peningkatan risiko diabetes, tekanan darah tinggi dan juga penyakit kardiovaskular.

"Kehadiran CRP menandakan inflimasi berlaku akibat rangsangan tertentu, rangsangan berlebihan yang menyebabkan sistem imuniti sentiasa aktif.

"Badan yang dalam keadaan siap sedia ini cuba mengesan dan membunuh 'musuh' tersebut tetapi tidak dapat mengenal pasti siapa musuh itu," ujar Dr. Johnson.

Akhirnya, inflimasi yang sepatutnya melindungi badan dari bahaya membawa mudarat dan menyebabkan kerosakan serta kemusnahan kepada tisu berhampiran. Kerosakan sel Beta di Islets of Langerhans di dalam pankreas mungkin menjejaskan mutu dan kuantiti insulin yang dihasilkan, seterusnya membawa kepada diabetes. Proses serupa juga boleh dikaitkan dengan banyak kerosakan tisu lain yang membawa kepada penyakit kronik seperti masalah jantung, alahan, asma, artritis dan sebagainya.

Kesihatan optimum

Dr. Duke Johnson juga telah menulis buku bertajuk 'the Optimal Health Revolution' yang menceritakan secara mendalam teori dan kajian mengenai inflimasi berpanjangan sebagai punca dasar penyakit pembunuh utama dunia.

Selain menjelaskan kaitan inflimasi dan kemusnahan sel dan tisu badan, buku ini turut menumpukan kepada pencarian puncanya. Perubahan pengindustrian global turut meningkatkan pendedahan kepada bahan kimia, bahan makanan sintetik, pencemaran dan makanan diproses dikatakan sebagai punca berlakunya inflimasi berpanjangan.

Beliau turut menegaskan masalah inflimasi dapat dikawal, melalui perubahan gaya hidup dan nutrisi makanan.

"Nutrigenomik - sains interaksi gen DNA dengan nutrisi dari makanan - mungkin dapat membantu dalam proses mengawal inflimasi berpanjangan.

"Menjaga nutrisi bermakna kita mengetahui dan mengenali apa yang kita makan kerana setiap satu darinya akan memberi kesan kepada genetik dan proses dalaman badan," jelasnya.

Dr. Johnson memaklumkan nutrigenomik menunjukkan bagaimana sesuatu nutrien memberi kesan kepada DNA manusia, mengaktifkan atau mematikan gen tertentu. Sebagai contoh, beliau memaklumkan mengenai kesan vitamin D yang bukan sahaja mengurangkan risiko beberapa jenis kanser, malahan mematikan gen untuk penyakit Multiple Sklerosis (MS).

"Banyak minyak masak yang murah turut menyebabkan inflimasi. Makanan yang diproses pula lebih cenderung menggunakan bahan asas yang paling murah, bukannya yang terbaik.

"Oleh itu, kenali apa yang masuk ke dalam mulut dan perut kita, kerana kesannya lebih mendalam, sehingga ke tahap genetik sel badan," katanya.

Dari segi penjagaan berat badan, Dr. Johnson menegaskan sasaran utama bukannya saiz atau berat badan seperti seorang model.

Menurutnya, cukup sekadar mencapai berat badan ideal mengikut individu, di bawah paras berisiko membawa penyakit.

"Selain menjaga pemakanan, rehat yang cukup, senaman (asalkan bergerak), aktiviti keagamaan juga membantu kita menjaga kesihatan diri.

"Dapatkan bantuan untuk kemurungan kerana ia menjejaskan jantung. Amalkan juga pengambilan bijirin penuh kerana ia mengurangkan rintangan insulin," ujarnya.

Beliau turut memberi contoh seorang pesakit dikenali sebagai 'Larry' yang berjaya mengubah risiko penyakit hanya dalam tempoh 3 bulan (90 hari).

"Dari berat badan 129 kilogram (kg) kepada 110 kg, Larry juga berjaya menurunkan tekanan darah dari 158/100 kepada 126/76.

"Kandungan lemak badannya juga berjaya diturunkan sehingga separuh, sehinggakan Larry langsung tiada rintangan insulin selepas 3 bulan berbanding hampir menghidap diabetes sebelum itu," katanya.

Menurut Dr. Johnson, sasaran kesihatan optimum seperti yang dicapai oleh Larry memberi fokus kepada mengurangkan inflimasi kronik.

"Perlu diingat, asas utama untuk kesihatan optimum adalah mengurangkan inflimasi yang dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik," tegasnya.

--------------------

HARI Diabetes Sedunia jatuh pada 14 November setiap tahun. Ia diperkenalkan buat pertama kalinya pada 1991 oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai reaksi terhadap peningkatan penyakit diabetes di seluruh dunia. IDF mengutarakan 'Pendidikan dan Pencegahan Diabetes' sebagai tema kempen Hari Diabetes Sedunia untuk lima tahun akan datang - 2009-2013 - demi untuk menangani kekurangan pendidikan sejagat tentang masalah ini.

Data terkini daripada IDF menunjukkan lebih 285 juta manusia di seluruh dunia kini hidup dirundung diabetes dan angka ini akan meledak menjadi 435 juta menjelang tahun 2030. Diabetes juga meragut empat juta nyawa setiap tahun dan ia merupakan penyebab utama kebutaan, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, strok dan pemotongan anggota.

"Pendidikan mengenai diabetes merupakan hak asas bagi setiap orang yang menghidapi penyakit ini. Persekutuan Diabetes Antarabangsa menyeru seluruh dunia agar membuat pelaburan untuk pendidikan, rawatan dan penjagaan terhadap berjuta manusia yang menghidapi diabetes di seluruh dunia," tegas Marg McGill, Naib Presiden Kanan IDF.

Takrif

Diabetes merupakan penyakit yang sangat melemahkan, di mana paras gula atau glukosa darah meningkat terlampau tinggi. Glukosa datangnya dari makanan. Insulin pula adalah sejenis hormon yang membantu glukosa memasuki sel untuk menjadikannya tenaga. Jika anda menghidapi Diabetes Jenis 1, badan anda tidak mampu untuk menghasilkan insulin. Diabetes Jenis 2 pula adalah jenis yang lebih biasa dijumpai, di mana badan anda tidak mencipta atau menggunakan insulin dengan baik. Tanpa insulin yang cukup dan berkesan, glukosa akan terus memendap di dalam darah.

Lama kelamaan, ia akan mengundang beberapa masalah serius sekiranya terlampau banyak glukosa menimbun di dalam darah. Ia boleh merosakkan mata, buah pinggang, dan urat saraf. Diabetes juga boleh menyebabkan penyakit jantung, angin ahmar, bahkan pemotongan anggota. Gejala Diabetes Jenis 2 termasuk keletihan, dahaga, penurunan berat badan, penglihatan yang kabur, serta kencing yang kerap. Namun, sesetengah orang tidak mengalami apa-apa gejala. Ujian darah akan menunjukkan sama ada seseorang itu menghidapi diabetes atau tidak.

Pencegahan Pilihan Terbaik

Nyata sekali, rawatan paling baik untuk segala penyakit ialah pencegahan awal. Bolehkah diabetes Jenis 2 dicegah? Pasti sekali boleh! Adalah agak jelas cara terbaik untuk mencapai matlamat ini ialah melalui pendidikan tentang gaya hidup, pemakanan, dan kaedah pengambilan suplemen nutrisi. Tentang rawatan diabetes atau pra-diabetes, rawatan perubatan konvensional semasa sememangnya telah dapat memberikan ramai penghidap diabetes kehidupan yang lebih sihat dan hayat yang lebih panjang. Namun begitu, rawatan yang paling berkesan bagi diabetes dan masalah gula darah yang lain memerlukan penggunaan strategi yang melibatkan perubahan gaya hidup, kaedah pemakanan dan pengambilan suplemen nutrisi.

Suplemen harian yang mengandungi multivitamin dan mineral berkuasa tinggi direkabentuk untuk menyokong keperluan nutrisi khas mereka yang mempunyai paras gula darah tinggi, termasuk pesakit diabetes. Dengan membekalkan pesakit diabetes dan pra-diabetes nutrien penting tambahan, terbukti dapat meningkatkan pengawalan gula dan juga mencegah atau merencatkan perkembangan komplikasi-komplikasi utama diabetes.

Contoh nutrien penting yang diperlukan oleh pesakit diabetes dengan jumlah yang agak tinggi dari biasa ialah vitamin B1, B6, B12, Biotin, Niacinamide, vitamin C, vitamin E, Mangan, Vanadium Sulfate, Zink, dan Kromium. Pesakit diabetes juga memerlukan lebih banyak Asid Alfa Lipoik (ALA), sejenis antioksidan sejagat yang mampu berfungsi dalam kedua-dua bahagian yang berair dan berlemak dalam sel.

Asid alfa lipoik

Asid Alfa Lipoik (ALA) ialah sejenis antioksidan semulajadi yang amat berkuasa dan ia menghalang radikal bebas daripada menyebabkan kerosakan terhadap saraf jika pengawalan gula darah (glukosa) tidak memuaskan. ALA telahpun digunakan selama lebih 30 tahun di Eropah (terutama sekali di Jerman) untuk menentang kerosakan saraf termasuk retinopati (kerosakan retina) pada mereka yang menghidapi diabetes (Jenis 1 dan 2). ALA juga membantu meningkatkan penggunaan glukosa oleh otot, suatu tindakan yang amat penting bagi pesakit diabetes. Mereka yang menghidapi pra-diabetes dan diabetes dinasihatkan mengambil tambahan ALA antara 400 hingga 600 miligram (mg).

Vanadium sulfate

Vanadium Sulfate mungkin dapat memperbaiki kawalan glukosa pada mereka yang menghidap diabetes Jenis 2. Vanadium Sulfate diketahui dapat meningkatkan sensitiviti insulin. Oleh kerana vanadium mempunyai kesan menyerupai insulin, maka kehadiran mineral surih ini dalam jumlah kecil tidak mencukupi bagi mereka yang mengalami keabnormalan gula dalam darah.

Kromium

Kromium membantu pesakit diabetes dan pra-diabetes meningkatkan sensitiviti insulin dengan meningkatkan kedua-dua bilangan reseptor insulin dalam sel dan juga aktiviti reseptor tersebut. Mengambil suplemen kromium akan mewujudkan pengawalan gula yang lebih baik dengan hanya menggunakan sedikit insulin sahaja.

Mecobalamin untuk saraf

Para saintis Jepun telah mengenal pasti bentuk aktif vitamin B12 yang boleh melindungi kita dari penyakit neurologi (saraf) dan penuaan, dikenali sebagai mecobalamin. Sesetengah gangguan yang mungkin boleh dicegah atau dirawat dengan menggunakan terapi mecobalamin - termasuklah neuropati periferal (peripheral neuropathies).

Manfaat Mecobalamin untuk kesihatan saraf termasuklah melindungi dari kerosakan saraf, membantu pertumbuhan semula jalinan saraf dan mengurangkan kesakitan saraf.

Perkataan neuropati merujuk kepada saraf (neuro) dan penyakit (pathy). Maka neuropati periferal merupakan keadaan melibatkan saraf yang berada di luar sistem saraf pusat, kebanyakannya di lengan dan kaki.

Urat saraf merupakan talian komunikasi badan kita. Isyarat elektrik dari otak dipancar melalui saraf dan memberi arahan kepada berbagai bahagian badan kita. Badan juga menerima maklumat dari alam sekitar melalui deria dan menghantar maklumat tersebut kepada otak melalui saraf.

Sebahagian besar saraf periferal bertanggungjawab terhadap deria rasa seperti sentuhan, kesakitan dan sejuk atau panas suhu. Sebenarnya terdapat berjuta hujung saraf ini pada jari tangan anda, tangan, jari kaki dan kaki yang direka bentuk untuk melindungi diri dari segala bahaya dan menjauhkan kita dari suasana atau objek yang panas, sejuk, tajam dan lain-lain.

Gejala Neuropati Periferal termasuk:

l Kebas atau tidak sensitif terhadap rasa sakit atau suhu.

l Rasa berdenyut-denyut, panas atau menyucuk-nyucuk.

l Rasa sakit yang meruncing atau kekejangan.

l Sensitif yang amat sangat terhadap sentuhan, sekalipun sentuhan yang ringan.

l Kehilangan imbangan dan koordinasi.

Membeli suplemen

Pesakit diabetes mudah terdedah kepada jangkitan dan luka yang lambat sembuh. Satu kajian penting menunjukkan pesakit diabetes yang mengambil suplemen harian selama satu tahun mengalami kadar keuzuran dan jangkitan. Jika anda seorang pesakit diabetes atau pra-diabetes, maka keperluan nutrisi anda adalah berlainan.

Oleh itu, jangan lupa untuk mendapatkan suplemen harian multivitamin dan mineral yang mempunyai semua bahan disebut di atas dengan kandungan yang lebih tinggi. Ambil suplemen yang dirumuskan khas untuk pesakit diabetes dan pra-diabetes untuk membantu mengoptimumkan kesihatan dan mencegah penyakit.

Selain suplemen multivitamin dan mineral harian yang baik, adalah disyorkan anda menggabungkannya dengan vitamin B-12 (mecobalamin) yang aktif dari segi neurologi, kerana keupayaannya untuk membantu mencegah dan menumbuhkan semula jalinan saraf yang rosak - satu komplikasi biasa bagi mereka dengan paras gula darah yang tinggi.

Artikel ini disumbangkan oleh Pahang Pharmacy Sdn. Bhd. Untuk maklumat lanjut mengenai Asid Alfa Lipoik (ALA), Vanadium Sulfate, Kromium dan Mecobalamin, sila e-mel ke livewell2u@pahangpharmacy. com.my atau hubungi Stay-well to Live-well INFOline 03-61407605, Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 pTG

petikan : utusan.com


3.

No comments