Pendidikan Maya di Sekolah


SISTEM pembelajaran pintar yang kini digunakan di institusi pengajian tinggi (IPT) bakal diperluaskan ke sekolah tidak lama lagi.

Usaha itu bakal direalisasikan Institut Pembangunan Profesional, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dengan kerjasama syarikat teknologi dari Taiwan, Wistron Corporation dalam usaha memperluaskan pendidikan maya di negara ini.

Pengarah Serantau Wistron Corporation, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, sistem yang menggunakan peralatan moden seperti komputer riba dan pelayan persendirian sebagai medium pembelajaran di dalam kelas itu membolehkan sesi pembelajaran diadakan secara interaktif.
"Kita akan menjalankan projek perintis di dua buah sekolah swasta terlebih dahulu sebagai pendedahan awal dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Setakat ini, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pihak kerajaan sebelum sistem ini dilaksanakan di sekolah-sekolah," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Pembangunan Profesional, OUM dan Wistron Corporation di sini hari ini," katanya.
Pada majlis itu Institut Pembangunan Profesional, OUM diwakili Ketua Pegawai Operasi OUM, Repin Ibrahim, manakala Wistron Corporation diwakili Presidennya, Robert Hwang.

Menurutnya Syed Zainal, kerjasama itu merupakan titik permulaan ke arah mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif bermula di peringkat sekolah.

Tambahnya, menerusi kerjasama itu Wistron Corporation akan menanggung sepenuhnya kos pembinaan kelas bagi projek perintis membabitkan perbelanjaan kira-kira RM100,000.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20130318/ka_02/Pendidikan-maya-di-sekolah#ixzz2PNXArogq
© Utusan Melayu (M) Bhd