Baca berita ini..

KUALA LUMPUR 25 April - Ada dua jenis hantu yang menyebabkan keadaan sekolah tidak selamat dan kucar-kacir. Pertama, hantu yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan kedua, hantu yang jelas susuk fizikalnya. Maka kesan dan cara menanganinya juga berbeza.

Untuk kategori pertama, biasanya akan menyebabkan murid atau pelajar menjadi histeria. Rasukan makhluk halus ini pernah 'menyerang' Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Lumpur dan SMK Paya Pulai di Kuantan, Pahang tahun lalu.

Terbaru, murid Sekolah Kebangsaan Sungai Besar di Teluk Intan, Perak pula menjadi mangsa. Menurut laporan Utusan Malaysia 22 April lalu, mangsa melihat lembaga misteri. Ada yang melihat pocong berkepala dua dan ada yang ternampak lembaga hitam.

Kes seperti ini memerlukan ustaz, bomoh atau pawang untuk 'memulihkan' keadaan. Atau pelajar yang diserang histeria dipindahkan ke sekolah lain. Pendekatan tukar sekolah ini terbukti berjaya seperti yang dilaksanakan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pahang di SMK Tanjong Lumpur.

Kisah seram dan menakutkan ini juga sering menghantui pelajar yang tinggal di asrama. Ia tidak dilapor oleh media tetapi diceritakan secara 'turun-temurun'. Daripada pelajar senior kepada pelajar baru. Ramai juga yang pernah mengalami sendiri terutama yang mengulang kaji hingga lewat malam.

Selagi ia tidak menjejaskan keharmonian proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) maka gangguan 'hantu' jenis ini boleh diabaikan.

Bagaimanapun, kacang hantu - pelajar bermasalah disiplin - tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang hukuman. Kelakuan dan tindakan 'hantu' kategori kedua ini sudah melampaui batas. Terlalu biadab sehingga sanggup memperkosa pelajar wanita berusia 14 tahun di dalam kelas.

Suspek dilindungi oleh rakan-rakannya yang membuat bulatan telah merogol mangsa dan meninggalkan pensil di dalam kemaluannya.

Sebelum itu, mangsa telah dirogol oleh pelajar lain di tepi padang sekolah. Dia kini hamil sebulan.

Kejadian berlaku di sebuah sekolah menengah dekat Rawang seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia halaman 25 pada 22 April lalu.

Mungkin ada yang menganggap kejadian rogol ini sebagai kes terpencil. Memang terpencil dan satu dalam sejuta. Cuma yang menjadi persoalan, mengapa kawalan keselamatan di sekolah begitu longgar hingga kejadian tersebut berlaku. Bukan sekali tetapi dua kali dan di dalam premis sekolah.

Justeru ia perlu segera dibendung dan diambil iktibar. Takut berulang. Dalam hal ini, pihak pentadbir, guru dan pengawas di sekolah perlu sentiasa peka dengan pergerakan para pelajar. Jika terdapat sesuatu aktiviti atau acara pastikan semua pelajar berada di tempat yang ditetapkan tanpa pengecualian.

Tingkatkan rondaan dan jangan ada mana-mana kelompok pelajar dibiarkan di bilik darjah tanpa pengawasan. Dikhuatiri ada yang mengambil kesempatan membuat klip video lucah seperti yang berlaku di Jerteh Mac lalu. Koleksi klip tersebut tersebar ke seluruh negara melalui Khidmat pesanan multimedia (MMS). Adegan 'panas' itu dirakam di dalam bilik darjah dan menjadi tajuk utama akhbar arus perdana.

Sekiranya perlu, pihak pentadbiran sekolah sewajarnya memohon tambahan pengawal keselamatan untuk memperketat kawalan khususnya selepas tamat waktu persekolahan. Usaha pencegahan ini penting untuk mengelak para pelajar 'mendalami' pendidikan seks walaupun subjek itu belum diwajibkan di sekolah.

Sebaik-baiknya libatkan pelajar bermasalah disiplin ini dalam sebarang acara atau aktiviti 'kebesaran' sekolah. Lebih afdal jika mereka menjadi pemain utama. Secara tidak langsung, mereka akan sibuk dengan segala persiapan dan persembahan yang diatur. Jadi tiada kesempatan untuk mereka menimbulkan sebarang masalah.

Sebaliknya kecenderungan guru untuk meminggirkan golongan ini menyebabkan mereka memberontak. Melakukan perkara yang boleh menarik perhatian. Membuat onar tanpa memikirkan implikasi jangka panjang. Lantas terjebak dalam kesalahan juvana, buli dan ponteng.

Paling utama persekitaran sekolah mesti dipastikan selamat tanpa kompromi. Jangan kita asyik naik hantu bila dibebani dengan sedikit kerja tambahan hingga alpa dengan amanah dan tanggungjawab.

Dalam pada itu, ibu bapa dan masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing khususnya yang tinggal berhampiran kawasan sekolah. Maklumkan kepada pihak sekolah jika terlihat pelajar ponteng atau melakukan aktiviti yang mencurigakan. Selepas itu biar guru yang menguruskannya.

Hal ini untuk mengelak pertelingkahan dengan pelajar tersebut atau pergaduhan dengan ibu bapa mereka yang mungkin tidak setuju dengan tindakan itu.

Sebenarnya masalah ponteng juga tidak boleh diambil mudah. Akibatnya boleh membawa maut seperti yang terjadi kepada seorang pelajar tingkatan dua di Kangar, Perlis baru-baru ini.

Dia yang ponteng sekolah bersama lima rakannya ditemui mati dalam gaung di kawasan berbukit di Telok Lalang, Sungai Batu Pahat Jumaat lalu.

Selain itu, ibu bapa juga perlu akur dan reda jika terbukti anak mereka membuat kesalahan. Jangan terlalu membela mereka hingga menyebabkan guru teragak-teragak untuk mengambil tindakan kerana takut kena saman. Pada masa sama ia membuatkan pelajar itu naik tocang dan berani melawan guru.

Natijahnya amat buruk. Guru tidak lagi dihormati dan gejala sosial berleluasa. Oleh itu, kita - guru, ibu bapa dan masyarkat - perlu berganding bahu menangani masalah disiplin pelajar dengan niat murni untuk melahirkan generasi 1Malaysia yang berwawasan dan terbilang.

dipetik dari Portal Pendidikan Utusan.